Tuesday, 14 June 2011

Pelancongan di Sarawak

Kuching Waterfront

Kunjungan anda ke Kuching dikatakan tidak lengkap jika tidak singgah ke sini. Tempat ini di antara tarikan utama yang terdapat di Kuching. Selain keindahan Sungai Sarawak, kita boleh menikmati pemandangan bot-bot kecil serta melihat aliran air sungai yang bersih . Kuching Waterfront juga adalah tempat tumpuan penduduk tempatan berkumpul untuk riadah bersama keluarga. Bersetentangan dengan Kuching Waterfront itu, juga terdapat banyak deretan kedai yang menjual pelbagai jenis kraf yang boleh anda beli dan bawa balik.

Taman Negara Bako

Bagi penggemar alam sekitar, Taman Negara Bako sudah pasti menjadi pilihan utama untuk menikmati kehijauan flora dan melihat sendiri hidupan-hidupan liar. Monyet Proboscis atau dikenali sebagai ‘Orang Belanda’ merupakan tarikan utama pengunjung ke taman ini. Taman Negara tertua di Sarawak ini menggabungkan laut, pantai, paya, hutan dan tanah tinggi ini dikatakan mempunyai lebih 600 spesis tanaman bunga, termasuk 49 spesis orkid serta spesis haiwan dan spesis burung.  Trek terpanjang di Taman Negara Bako adalah sejauh 10.5 kilometer ke Tanjung Kruin manakala yang paling pendek adalah ke Tanjung Sapi yang hanya berjarak 800 meter.

Kampung Budaya Sarawak


Dengan melawat perkampungan ini, anda bagaikan sudah melawat ke seluruh negeri Sarawak. Sebab itulah, ia digelar muzium hidup terbesar di dunia. Perjalanan ke sini mengambil masa kira-kira 45 minit dari Kuching dan tiketnya pula berharga RM60 untuk dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak. Di sini anda dapat melihat aktiviti kebudayaan, dan pelbagai aspek sosio budaya kaumnya yang pelbagai. Kampung Budaya Sarawak ini mempunyai tujuh model berskala asal iaitu Rumah Panjang Bidayuh, Rumah Panjang Orang Ulu, Rumah Panjang Iban, Pondok Penan, Rumah Melanau, Rumah Melayu dan Rumah Cina. Di sini anda juga boleh melangsungkan perkahwinan anda di Kampung Kebudayaan Sarawak mengikut gaya tradisi kaum Iban, Melayu, Bidayuh atau Orang Ulu.