HASILAN SUMBER ASLI BUMI
Sarawak adalah negeri kedua terkaya dalam hasil sumber ekonominya di Malaysia dengan hasil sumber gas asli, petroleum, balak dan kelapa sawit. Selain itu, terdapat juga sumber ekonomi yang baru seperti sektor perkilangan elektronik dan bioteknologi.
Dengan kawasan yang luas terbentang, Sarawak mempunyai banyak kawasan yang sesuai untuk perkembangan pertanian, Lebih kurang 32% atau kira-kira 40,000 km² luas kawasan telah dikenalpasti sesuai untuk pertanian. Walau bagaimanapun, tidak sampai 9% yang ditanam dengan tanaman kekal, manakala selebihnya masih dalam proses penanaman padi huma iaitu seluas 16,000 km² lebih. Selain kelapa sawit, tanaman komersil lain adalah sagu dan lada hitam.
Sejak 1980-an, Sarawak telah mula mempelbagai dan mengubah ekonominya kepada bentuk industri. Taktik ini telah berjaya, dan kini industri perkilangan dan teknologi memainkan peranan penting dalam membentuk pengembangan ekonomi negeri.
Walaupun merupakan negeri yang terbesar di Malaysia, Sarawak mampu untuk membangunkan semua bahagian dan daerah negeri tersebut untuk mengejar status negeri maju pada tahun 2020. Sarawak bersamaan dengan Selangor mempunyai dua bandar raya iaitu Bandaraya Kuching dan Miri.
Dengan adanya kawasan yang luas dan kaya dengan sumber alam, Sarawak telah menjadi antara pilihan menarik bagi para pelabur.
PERUSAHAAN KEK LAPIS SARAWAK
Kek lapis merupakan sejenis makanan yang terdapat di negeri Sarawak. Malahan ia lebih terkenal sebagai kek lapis Sarawak serta merupakan makanan tradisi masyarakat Melayu di negeri Sarawak. Mengikut sejarah, Kek lapis Sarawak diperkenalkan kepada orang Sarawak daripada Indonesia. Kek Lapis Indonesia diketengahkan semenjak era pemerintahan Belanda dan terkenal dengan Kek Lapis Lengit iaitu Kek Lapis Berempah dan Kek Lapis Surubaya. Kek lapis mempunyai keunikannya yang tersendiri. Keunikan Kek Lapis Sarawak adalah hasil dari seni kraf tangan yang tinggi , keterujaan (passion), ketelitian , keunikan serta ide-ide kreatif. Tambahan pula dengan cara membakarnya yang berbeza-beza akan menghasilkan kek lapis yang cantik, tersusun rapi dan menawan serta rasanya yang berlainan setiap satu dan menakjubkan.
Keunikan tersebut juga menjadi keistimewaan kepada perusahaan kek lapis ini kerana sudah mempunyai peminatnya yang tersendiri. Terdapat satu keistimewaan yang menjadikan kek lapis berlainan dengan kek-kek lain yang terdapat di Malaysia. Tidak ramai yang mengetahui, sebenarnya Kek Lapis Sarawak mampu bertahan lama jika diadun dan dibungkus dengan sempurna. Kemahiran membuat Kek Lapis Sarawak ini memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi untuk membuatnya. Sedikit kesilapan dalam pembuatan kek lapis akan menjejaskan mutu kualiti, rasa dan daya tahan kek tersebut untuk bertahan lama. Tidak hairan jika harga bagi sebiji Kek Lapis Sarawak adalah serendah RM15 dan boleh harganya boleh mencecah sehingga RM140. Walaupun harga kek lapis yang agak mahal, tetapi harga tersebut dianggap berbaloi dengan hasil usaha penghasilan dan mutu yang dilihat pada kek tersebut. Sekaligus ada dalam kalangan peminatnya sanggup terbang ke Sarawak hanya untuk membeli Kek Lapis Sarawak yang sedap terutama semasa musim perayaan.
PERUSAHAAN SARANG BURUNG WALIT
Oleh kerana perusahaan ini memberi pulangan yang lumayan dan negara mempunyai potensi untuk menjadi pengeluar, ia telah membuka mata pelbagai pihak dalam memajukan perusahaan sarang burung walit ini. Sebagai contoh, burung walit emas menghasilkan sarang burung yang kini semakin mendapat permintaan kerana mempunyai khasiat tinggi untuk kesihatan.
PERUSAHAAN SARANG BURUNG WALIT
Industri walit bukan satu industri yang baru di Malaysia, namun sejak kebelakangan ini, penuaian sarang burung ini telah diusahakan secara besaran-besaran dan memberi pulangan yang menguntungkan. Dalam tempoh lebih sedekad ini, pengusaha-pengusaha telah menerokai kaedah-kaedah dan teknologi-teknologi baru dalam industri ini untuk mempertingkatkan pengeluaran. Ianya perladangan yang mesra alam dan berkonsepkan industri hijau. Sarawak bersama beberapa negeri lain telah mula menjadikan perusahaan sarang burung walit perusahan penting negara.
Sehingga kini, Sarawak mempunyai lebih 1,500 premis sarang burung walet dengan jumlah tertinggi di Sarikei (500) diikuti Samarahan (200) manakala selebihnya terletak Mukah, Bintulu, Miri dan kawasan lain di seluruh bahagian.
Suatu ketika dahulu, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 Sarawak tidak membenarkan burung walit diternak di kawasan bandar dan kesukaran mendapatkan lesen menyebabkan industri tersebut tidak berdaya saing. Bukan sahaja di Sarawak, malah di kawasan-kawasan lain di negeri-negeri terlibat juga menghadapi masalah yang sama.